DUBAI, 5 Dis: InvestSarawak dan Surbana Jurong Infrastructure Pte Ltd menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk memperkukuh inisiatif ekonomi hijau di Sarawak.
MoU itu ditandatangani Ketua Eksekutif InvestSarawak, Timothy Ong Wye Ern dan Pengarah Urusan Surbana Jurong (Infrastruktur, Tenaga dan Industri) Tan Wooi Leong.
Majlis yang berlangsung di Pavilion Singapura di Dubai semasa Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP28) hari ini, disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Daya tarikan Sarawak untuk pelaburan, khususnya dalam sektor yang mampan dan kolaborasi dalam sektor utama seperti pembuatan, pertanian komersial, pelancongan, perhutanan, perlombongan dan perkhidmatan harus ditekankan,” kata Abang Johari.
Beliau turut menyatakan komitmen Sarawak untuk pertumbuhan ekonomi yang bertanggungjawab dan mampan, menggabungkan prinsip-prinsip Matlamat Pembangunan Sosial (SDG) dan Pemerintahan, Sosial, dan Alam Sekitar (ESG) ke dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Matlamat keseluruhan kita adalah untuk mempromosikan kemakmuran ekonomi, inklusiviti sosial dan kelestarian alam sekitar di rantau tersebut,” ujarnya. -TVS